PENDIDIKAN

Pendidikan merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus sama ada yang dapat dilihat atau tidak dapat dilihat, tetapi boleh dipelajari dan difahami dengan baik. Pendidikan bermula sejak lahir sehingga ke akhir hayat seseorang individu. Pendidikan perlu diterapkan sejak kecil agar dapat membentuk modal insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

Di Malaysia, sistem pendidikan menggunakan sistem pendidikan Inggeris. Pendidikan boleh didapati daripada sekolah sama ada tanggungan kerajaan mahupun swasta. Sistem pendidikan dipusatkan kepada pendidikan rendah dan pendidikan menengah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Dalam pendidikan, terdapat satu hari istimewa iaitu Hari Guru. Pada Hari Guru inilah jasa dan sumbangan tenaga pengajar dihargai oleh warga pendidikan.

Pendidikan rendah bermula dari tahun 1 hingga tahun 6, dan menerima kemasukan kanak-kanak berumur 7 tahun sehingga 12 tahun.

Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Sekolah rendah awam di Malaysia terbahagi kepada dua jenis, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Kurikulum di kedua-dua jenis sekolah rendah adalah sama. Perbezaan antara dua jenis sekolah ini ialah bahasa pengantar yang digunakan. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan.